Friday 5 June 2015

Contoh Esei

LARAS SAINS
Pemanasan global membawa pelbagai impak kepada alam sekitar dan manusia.Bincangkan.


Suhu global yang seimbang memberi manfaat kepada alam sekitar dan manusia. Bagaimanapun pemanasan global yang eksesif memang membawa kesan yang amat serius terhadap alam sekitar dan manusia.

Pemanasan global menyebabkan kebakaran hutan berlaku. Pemanasan global menyebabkan daun pokok di zon perhutanan akan layu. Daun yang layu mudah terbakar sekiranya cuaca yang amat panas. Cuaca panas ini adalah disebabkan pancaran ultra violet cahaya matahari yang kuat. Keadaan ini sering berlaku di negara Australia, Amerika Selatan dan di negara-negara tropika yang lain. Kebakaran hutan ini melepaskan gas-gas karbon dioksida dan karbon monoksida. Pelepasan gas-gas ini mengundang pelbagai penyakit seperti penyakit kulit dan masalah kesihatan yang lain.

Pemanasan global memberi kesan terhadap alam sekitar. Suhu cuaca yang melebihi had menyebabkan glasier menjadi cair di polar selatan dan utara. Sekiranya cecair ais berlaku, maka peningkatan paras air laut juga akan berlaku. Sebagai akibatnya kawasan-kawasan rendah mudah ditenggelami air. Tambahan pula, musim hujan pada kawasan tertentu mungkin berlaku. Hal ini terbukti apabila kawasan daratan di kutub-kutub dunia semakin berkurangan.

Pemanasan global membawa kesan negatif terhadap agrikultur. Di kawasan penanaman cuaca yang panas menyebabkan tumbuh-tumbuhan tidak dapat menyesuaikan dirinya dengan cuaca yang panas mahupun kondisi persekitaran yang tidak sesuai. Jadi, tumbuh-tumbuhan akan layu dan mati. Sebagai akibatnya ruminan ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing akan berkurangan. Keadaan ini jelas terlihat di New Zealand. Kekurangan makanan ternakan menyebabkan ternakan seperti lembu di New Zealand mendapat penyakit dan manusia kehilangan susu dan daging.

Satu lagi impak pemanasan global ialah jerebu. Jerebu merupakan salah satu isu alam sekitar yang sering dihadapi oleh dunia sekarang. Kebakaran hutan oleh kemarau yang berpanjangan di Hutan Amazon dan hutan-hutan simpanan di Asia Tenggara sering menyebabkan jerebu. Jerebu dibawa dari sesebuah negara ke negara lain melalui tiupan angin. Partikel mikroskopik yang terdapat dalam jerebu seperti jelaga hitam menyebabkan tahap penglihatan menjadi rendah dan membawa risiko penyakit kepada manusia seperti sesak nafas, lelah, bronkitis dan masalah pernafasan yang lain.

Kesimpulannya, manusia hendaklah menjaga alam sekitar dengan baik. Hutan berupaya menyerap haba yang berlebihan dalam atmosfera. Oleh itu setiap penebangan pokok hendaklah digantikan dengan penanaman sebatang pokok untuk mengurangkan pemanasan global.
LARAS SASTERA
Siswazah lepasan Institut Pengajian Tinggi (IPT) menghadapi kesukaran untuk mendapat pekerjaan. Huraikan punca peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah di negara ini

Pada setiap tahun, bilangan graduan yang dihasilkan oleh IPTA dan IPTS semakin meningkat daripada ratusan ke ribuan. Keadaan ini disebabkan oleh kemasukan ramai pelajar lepasan sekolah yang memperoleh keputusan cemerlang dan layak memasuki salah sebuah institusi tersebut. IPTA dan IPTS membuka banyak peluang pilihan pelajaran dalam pelbagai bidang. Hal ini telah membawa kepada kesukaran siswazah mendapatkan pekerjaan dan menyebabkan masalah pengangguran dalam kalangan mereka.
Terdapat pelbagai punca kesukaran para siswazah mendapat pekerjaan. Salah satu daripadanya ialah persaingan yang terlalu sengit antara para siswazah daripada bidang yang sama. Majikan yang menawarkan pekerjaan hanya mahu pekerja yang terbaik. Hal ini kerana pendapatan yang ditawarkan kepada pekerja hendaklah berbaloi dengan produktiviti mereka. Jika seseorang siswazah tidak mempunyai kelayakan yang ditetapkan maka sukarlah untuk siswazah tersebut mendapat pekerjaan.
Selain itu, punca pengangguran dalam kalangan siswazah disebabkan majikan mempunyai pekerja yang berpengalaman dan mahir. Kebanyakan majikan enggan mengambil rsiko melatih pekerja baharu seperti siswazah kerana tindakan ini menelan kos yang besar. Memang diketahui umum bahawa majikan lazimnya ingin mengurangkan kos operasinya.
Keadaan ekonomi negara juga menjadi punca siswazah menganggur. Dalam keadaan ekonomi yang gawat, negara terpaksa kehilangan pelabur-pelabur asing. Pelabur-pelabur ini tidak berupaya mewujudkan jawatan-jawatan baharu. Malah sektor awam juga membekukan beberapa jawatan baharu kerana tidak mampu membayar gaji kepada pekerja baharu. Keadaan bertambah buruk apabila terdapat beberapa pengusaha kilang terpaksa gulung tikar kerana tidak dapat menampung kos dalam keadaan kemelesatan ekonomi.
Para siswazah IPTA dan IPTS yang berpotensi dalam sesuatu bidang yang khusus menjadi punca mereka sukar mendapat pekerjaan. Jika bidang jurusan di IPT tidak sesuai dengan pasaran semasa, maka mereka tidak dapat mencari pekerjaan dalam bidang yang lain. Lagipun permintaan dalam pasaran buruh tempatan semakin berubah-ubah mengikut peredaran masa. Kursus yang diikuti selama lima tahun di IPT sudah tidak cocok apabila siswazah keluar dari IPT selepas lima tahun. Keadaan menjadi lebih teruk jika mereka tidak mengkhususkan bidang minor ketika di IPT.
Kesimpulannya, para siswazah lepasan IPTA dna IPTS haruslah bijak dalam menentukan hala tuju hidup mereka. Mereka hendaklah memilih bidang atau kursus yang dikehendaki oleh pasaran buruh tempatan.

LARAS SAINS
Setiap kali banjir berlaku, pihak-pihak tertentu gagal memantau kawasan persekitaran sungai. Kawasan persekitaran sungai sangat penting untuk dijaga. Huraikan kepentingan kawasan persekitaran sungai.
Belakangan ini, bencana banjir sering terpapar di dada akhbar. Walaupun pelbagai langkah pembendungan diambil, namun kawasan persekitaran sungai yang menjadi punca berlakunya banjir ini gagal dipantau oleh pihak berkuasa. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kawasan persekitaran sungai banyak kepentingan jika dijaga dan dipantau.
Kawasan persekitaran sungai dapat melindungi sungai daripada tercemar. Persekitaran sungai menjaga sungai dari segi ekosistemnya. Hal ini bermakna sungai tidak akan tercemar dengan pembuangan bahan toksik dan sampah sarap. Malah keadaan ini menjamin aktiviti manusia di sepanjang sungai. Air yang tidak tercemar dapat dimanfaatkan untuk keperluan domestic.
Kawasan persekitaran sungai dapat mengawal banjir. Hujan lebat yang mengakibatkan banjir tidak dapat ditampung sepenuhnya oleh sungai. Limpahan air sungai akan mendorong kejadian banjir kilat. Namun begitu tumbuh-tumbuhan di sekitar sungai dapat menyerap air yang berlebihan dan keadaan ini akan mengelakkan banjir daripada terus berlaku
Selain itu, kawasan persekitaran sungai memainkan peranan sebagai pengawal hakisan tanah. Akar pokok-pokok sekitar sungai dapat mencengkam tanah di sekitarnya dan seterusnya mengelakkan hakisan tanah daripada berlaku. Apabila hakisan tanah dikawal, kadar pemendapan sungai akan berkurang dan keadaan ini menyebabkan sungai menjadi lebih dalam.
Di samping itu, kawasan persekitaran sungai merupakan habitat hidupan liar dan serangga. Akuatik dalam sungai dan tumbuh-tumbuhan di sekitar sungai menjadi sumber makanan kepada hidupan liar dan serangga ini. Keadaan ini akan memastikan rantai makanan diteruskan dan menyelamatkan hidupan liar daripada pupus.
Tuntasnya, kawasan persekitaran sungai adalah sangat penting kepada kehidupan biologi termasuk flora dan fauna. Oleh itu langkah-langkah drastik dan efektif harus diambil supaya ekosistem di kawasan persekitaran sungai tidak terancam.







LARAS SASTERA
Kerajaan telah memperkenalkan dan menjalankan pelbagai dasar untuk mentransformasikan sistem penyampaian perkhidmatan awam sejak era 1980-an. Ulaskan.
Perkhidmatan awam merupakan jentera pentadbiran kerajaan yang penting. Sistem penyampaian perkhidmatan awam perlu dijalankan dengan lancar supaya pentadbiran yang cekap dan efisien dapat dijamin. Untuk merelaisasikan aspirasi ini pelbagai dasar telah diperkenalkan oleh pucuk pimpinan negara sejak era 80-an.
Antara transformasi dasar yang dijalankan ialah Dasar Pensyarikatan Malaysia. Objektif dasar ini adalah untuk menghapuskan salah faham antara sektor awam dan swasta. Dasar ini juga menggalakkan perkongsian dan pertukaran maklumat antara sektor awam dan swasta. Konsep dasar yang mencontohi Jepun ini telah membuka banyak peluang pekerjaan sejak dilancarkan pada 25 Februari 1983 oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pelaksanaan dasar ini telah mengahpuskan prasangka masyarakat terhadap sektor swasta. Hasil sinergi antara swasta dan awam bukan sahaja banyak modal dibawa masuk dari luar negara, tetapi juga peluang pekerjaan baharu telah diwujudkan.
Selain itu, transformasi dasar yang lebih dominan ialah Dasar Pandang Ke Timur. Dasar ini membolehkan kita mencontohi teladan yang terbaik dari Jepun dan Korea Selatan dengan mengubahsuaikannya dengan keadaan-keadaan di Malaysia. Antara perkara yang diterapkan ialah teknologi yang moden, etika kerja dan sistem pengurusan. Dengan pengimplementasian dasar ini, prestasi pengurusan dan pembangunan negara dapat dipertingkatkan. Nilai-nilai dan etika kerja yang positif telah Berjaya diterapkan dalam kalangan penjawat awam dan swasta.
Di samping itu, Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam Dalam Pentadbiran juga dijalankan. Rasional dasar ini adalah berasaskan hakikat bahawa pembentukan satu sistem nilai yang sama adalah perlu bagi melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bermaruah tinggi dan disegani oleh masyarakat dunia yang lain. Nilai-nilai sejagat yang dimiliki setiap etnik di negara ini dapat dimiliki dalam agama Islam. Antaranya ialah bekerja secara amanah, bertanggung jawab, jujur dan ikhlas. Dasar ini amat tepat pada masanya kerana masalah rasuah yang berakar umbi dalam sektor awam telah dapat dikurangkan. Dasar ini telah mengangkat martabat perkhidmatan awam di khalayak masyarakat tempatan dan antarabangsa.
Transformasi dasar turut dijalankan menerusi Kepimpinan Melalui Teladan. Tiga teladan penting yang harus dicontohi ialah bersih, cekap dan amanah. Negara tidak akan maju atau dihormati oleh masyarakat dunia tanpa pentadbiran yang bersih, cekap dan amanah. Bersih merangkumi sifat-sifat seperti menjalankan tugas tanpa niat jahat, berdisiplin dan lain-lain. Cekap pula merangkumi sifat-sifat seperti menjalankan tugas dengan cepat dan sempurna. Amanah pula merangkumi sifat-sifat seperti menjalankan tugas dengan ikhlas dan penuh bertanggungjawab. Dasar ini berjaya dilaksanakan dalam sektor awam dan swasta
Kesimpulannya, transformasi dasar telah mendatangkan pelbagai faedah kepada masyarakat Malaysia. Kerajaan seyogianya meneruskan dasar-dasar ini demi kesejahteraan rakyat dan pembanguan negara. 

No comments:

Post a Comment