Monday 1 June 2015

Menangani Banjir

Menangani Banjir

POSTED ON  UPDATED ON 
Langkah pengurangan risiko
Banyak yang boleh kita pelajari daripada pengalaman banjir besar kali ini. Jika tiada sebarang tindakan adaptasi dan tebatan, kita bakal mengalami bencana banjir lebih besar 100 atau 1,000 tahun akan datang! Soalnya, banyak mana dana yang mampu dicurahkan di lembangan Sungai Kelantan atau sungai besar lain untuk mengelakkan bencana banjir besar berulang?
Saya percaya jika kita memahami fenomena banjir besar tahun lalu, banyak tindakan kecil dan sederhana secara berterusan boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko banjir.
Kelantan umpamanya, perlu ada dasar, perancangan dan pelan tindakan mengurangkan risiko banjir yang mantap. Pelan ini perlu diintegrasi dengan pelan pembangunan sosial dan ekonomi supaya ia dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.
Sebahagian besar tebing Sungai Lebir terhakis teruk.
Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian:
1) Kemerosotan kualiti alam sekitar menjadi punca utama kejadian bencana dan kemusnahan besar harta benda akibat banjir. Aktiviti pembersihan hutan dan pertanian perlu dirancang dan diurus secara berhemah untuk meminimumkan impak alam sekitar. Kawasan bertebing curam tidak boleh diteroka dan perlu dibiarkan dalam keadaan tabii. Zon penampan sepanjang persisir sungai perlu diperkenalkan untuk menghindar daripada proses hakisan tebing dan kemusnahan penempatan penduduk.
2) Kaji semua kawasan dilanda banjir yang mengakibatkan kemusnahan harta benda. Dapatkan jawapan kepada apakah punca atau kuasa pemusnah? Apakah punca ini dapat dihindarkan pada masa hadapan? Apakah ada cara untuk meminimumkan risiko bencana banjir berulang? Rancang proses pemulihan berasaskan kepada jawapan yang tepat dan keupayaan jangka panjang.
3) Beberapa bandar, pekan dan kampung dinaiki air banjir perlu dikaji dengan teliti. Ada yang ketinggian air banjir mencapai 15 meter. Apakah punca sebenar paras banjir boleh naik setinggi itu? Bolehkah kita menerima hakikat banjir begini berulang? Jika bandar atau pekan ingin dikekalkan di tempat asal, apakah langkah mitigasi yang boleh dilaksanakan untuk menghindar bencana banjir akan datang? Perlu ada perancangan pembaharuan bandar.
4) Banyak kawasan yang kurang sesuai untuk penempatan dan selalu berhadapan dengan banjir telah dibangunkan secara sah atau haram. Apakah tindakan yang perlu dilakukan kerajaan atau penduduk itu sendiri? Dasar menghindar penempatan di kawasan berisiko bencana banjir tinggi perlu diwujudkan. Beberapa penempatan dan perkampungan perlu dipindahkan di kawasan lebih selamat secara segera dan beransur-ansur.
5) Kebanyakan jambatan dibina merentasi sungai dan cabang Sungai Lebir dan Galas telah ditenggelami air banjir mencapai hingga lima meter. Ada jambatan yang rosak, ada pula bertahan dan menjadi penghalang laluan air banjir sehingga menyebabkan kampung berhampiran mengalami bencana teruk. Reka bentuk jambatan baharu perlu mengambil kira fenomena paras banjir terbaharu dan jambatan sedia ada perlu diganti dengan yang reka bentuk baharu secara beransur.
Belajar daripada bencana
Kita perlu belajar daripada bencana banjir besar terbaharu untuk berhadapan dengan peristiwa banjir masa hadapan. Tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana berpandangan jauh menyediakan dana RM20 juta untuk mengkaji bencana alam, khususnya bencana banjir besar tahun 2014.
Ahli akademik perlu mengambil peluang melaksanakan seruan ini dan memberikan jawapan yang sangat diperlukan oleh kerajaan dan masyarakat. Marilah kita bersama mengamalkan budaya mengurangkan risiko bencana.
Penulis ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu dan juga Ketua Kluster, Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara

No comments:

Post a Comment