Friday 5 June 2015

Dasar Angkasa Negara penentu hala tuju

Dasar Angkasa Negara penentu hala tuju

Dasar Angkasa Negara penentu hala tuju
Angkasa 1
Angkasa 2
angkasawan 3
Selain pertambahan infrastruktur berkaitan angkasa yang dimiliki oleh Agensi Angkasa Negara (Angkasa) seperti Observatori Negara Langkawi (ONL) tahun 2011, pembangunan sektor angkasa negara mengorak langkah ke hadapan dengan Dasar Angkasa Negara.
Dasar Angkasa menjadi pemangkin bagi pembangunan sektor angkasa negara masa hadapan, termasuk pembangunan sektor industri angkasa, yang mana Angkasa akan bertindak sebagai agensi penggerak utama.
Dasar itu penting sebagai memenuhi keperluan rangka kerja dan hala tuju dalam membangunkan sektor angkasa yang strategik dan penting bagi negara. Dasar ini merupakan kerangka dan garis panduan untuk memandu industri angkasa negara dalam tempoh 10 tahun akan datang iaitu sehingga 2020.
Dengan adanya dasar baru itu, sektor angkasa akan diiktiraf sebagai sektor baru yang strategik yang boleh menjana ekonomi baru bagi negara di samping meningkatkan keupayaan negara di dalam teknologi tinggi bagi tujuan keselamatan.
Dasar ini meliputi bidang satelit komunikasi, satelit navigasi, remote sensing (penderiaan jauh atau pencerapan bumi), undang-undang angkasa, sumber manusia, pendidikan dan kesedaran awam, penyelidikan dan pembangunan (R&D), industri angkasa dan teknologi angkasa.
Dengan adanya dasar angkasa itu, pembangunan sektor angkasa akan memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti hiliran seperti aplikasi bagi satelit telekomunikasi, satelit navigasi dan satelit atau remote sensing, yang dijangka menjadi industri penting bagi penjanaan ekonomi baru negara. Sebagai contoh, penggunaan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) begitu meluas kerana ada pihak yang bersedia menjualnya secara komersial untuk pengguna.
Jawatankuasa Angkasa Negara (Jangka) itu dipengerusikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili. Ia turut dianggotai oleh Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komuniti (KPPK), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).
Turut terlibat ialah Kementerian Luar, Kementerian Pelajaran (KPM), Kementerian Kewangan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Jabatan Penerbangan Awam dan wakil Industri – Aeronautic Technology Sdn. Bhd. (ATSB), dan MEASAT Satellite Systems Sdn. Bhd.
Jangka yang akan membincang dan mencadangkan program berkaitan angkasa bagi negara akan melaporkan kepada hasil perbincangan kepada Majlis Aeroangkasa Malaysia ( MAC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Akta Angkasa untuk mengawal selia aktiviti dan operasi berkaitan sektor angkasa seperti pelancaran dan pengoperasian satelit, pendaftaran objek yang dilancarkan ke angkasa lepas, pengoperasian stesen Bumi dan aktiviti lain yang berkaitan juga digubal. Setiap pelancaran dan pengoperasian satelit yang dimiliki oleh rakyat ataupun syarikat Malaysia perlu diberi lesen dan Angkasa bertanggungjawab pengeluaran lesen pada masa akan datang selepas akta tersebut diwartakan.Ketika ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merupakan badan yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen untuk kebenaran menggunakan julat frekuensi gelombang sahaja.
Dalam pada itu, program kesedaran dan pendidikan juga terus dilaksanakan untuk pelbagai peringkat lapisan kumpulan sasar termasuk sekolah rendah, sekolah menengah dan pelajar universiti.

No comments:

Post a Comment